Profil

Sekolah Kebangsaan Kepong (FRIM) telah memulakan sesi persekolahan yang pertama pada tahun 1951 dengan nama Sekolah Kebangsaan IPP (Institut Penyelidikan Perhutanan). Guru Besar pertamanya ialah En, Othman Abd. Majid. Sekolah ini bermula dengan hanya 50 orang murid dan 5 orang guru. Muridnya pada masa itu adalah terdiri daripada kalangan anak-anak staf IPP. Pada peringkat permulaan ini, mereka hanya bersekolah hingga darjah 5 dan kemudiaan menyambung persekolahan darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Batu, Kepong.
Bangunan asal sekolah ini adalah sebuah bangunan kayu yang dibahagikan kepada 3 bilik darjah serta 1 ruang pejabat. Namun begitu, disebabkan pembangunan pasat di sekeliling IPP pada ketika itu, banggunan kayu tersebut telah diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru.
Kronologi pembinaan dan penambahan bangunan sekolah bermula apabila satu blok bangunan 2 tingkat telah siap dibina pada tahun 1977. Kemudian pada tahun 1989, sebuah lagi bangunan 2 tingkat telah dapat dibina dan seterusnya pada tahun 1991, 2 blok bangunan mudah alih pula telah dibina. Penambahan blok bangunan sekolah berlaku secara berperingkat bagi mengimbangi jumlah murid yang telah meningkat pada ketika itu. Secara keseluruhannya SK. Kepong mempunyai 3 blok bangunan dan 1 kantin pada tahun 1991.
Kini sekolah sudah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sekolah-sekolah lain, berdiri teguh dengan megah di atas kecemerlangan akademik dan kokurikulumnya. Di samping itu, ia telah mempunyai tenaga akademik yang dedikasi dan penuh prihatin.

Memandangkan Sekolah ini berada di dalam kawasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang terkenal dengan kegiatan kawasan mengenal alam sekitar, sekolah ini seolah-olah mutiara di tengah hutan. Sehubungan dengan itu, sekolah ini turut mengamalkan budaya cintakan alam sekitar dan sentiasa berganding bahu dengan FRIM bagi menjamin kesejahteraan alam. Keindahan kawasan FRIM juga menjadi tanggungjawab bersama.

No comments:

Post a Comment